YESTERDAY WE LEARN χθες μαθαίνουμε , TODAY WE PRACTISE σήμερα ασκούμε , TOMORROW WE ACHIEVE αύριο επιτυγχάνουμε

Sunday, July 29, 2012

the SUNDAY Book #2: Cinta Tanpa Noktah

Zul akhirnya pulang ke rumahnya pada lewat senja itu. Sebaik sahaja dia pulang ke rumahnya, dia mendapati Ariffin sedang tekun bermain dengan alat permainan video Playstation 2. Matanya tepat kepada kaca TV LCDnya ketika sedang bermain dengan permainan Grand Theft Auto: San Andreas. Dia sedikit pun tidak menoleh ke arah Zul. Seolah olah dia masih berada seorang diri di dalam rumah itu ditemani JP.
JP mengiau ngiau ke arah Zul. Dia ingin mendapatkan perhatian Zul, tetapi Zul tidak melayannya.
Zul duduk di sofanya. Dia memandang ke arah Ariffin. JP mengiau sekali lagi sebelum duduk di kaki Zul.
"Exams Art semuanya dah selesai?" tanya Zul kepada Ariffin.
Tangannya meraba raba janggutnya yang dipotong pendek itu. Wajahnya nampak lesu. Rambutnya kusut tak terurus.
"Dah," jawab Ariffin ringkas dengan matanya masih terpaku ke depan. Kedua belah tangannya sibuk menekan nekan butang konsol.
"Bila mulanya cuti semester Art tu?"
"Hari inilah kot... lepas ni dah tak ada apa lagi sehinggalah semester baru naik nanti."
"Art cadang cadang nak ke mana?"
"Duduk rumah jer," Ariffin menyorong tubuhnya ke depan. "Kenapa?"
"Jom kita pergi bercuti..."
"Bercuti?"
"Ya. Kita bawa Jali sekali."
"Untuk apa?"
"Rehatkan fikiran..."
"Bercuti ke mana?"
"Kita ke Bali," wajahnya terlukis harapan agar Ariffin bersetuju dengan cadangannya ini. "Abang tahu Jali ada simpan cita cita untuk ke Ubud untuk melihat lukisan lukisan di sana. Dia pernah beritahu abang salah satu cita citanya adalah untuk ke sana bersama Art-"
"Jangan main mainlah bang!" Ariffin menekan butang pause untuk memberhentikan permainannya. Dia menoleh ke arah Zul.
"Abang tak main main," kata Zul walaupun fikirannya mengerawang memikirkan beberapa hal yang lain.
"Saya takde duit nak ke Bali. Jali lagilah tak ada duit. Dia berangan jer lebih... nak pergi Balilah... nak pergi Parislah-"
"Tak apa. Korang berdua tak perlu fikirkan tentang itu semua."
"Saya tak ada pasport antarabangsa. Saya rasa Jali pun sama macam saya."
"Buat pasport sekejap jer... tak lama," sahutnya dengan bersungguh sungguh.
"Entahlah... nanti saya fikirkan."
"Kenapa Art perlu fikirkan?" suaranya tajam bertanya.
Dia sedar Ariffin mungkin tidak boleh berenggang lama dengan dadah sebab itu dia perlu mengambil masa untuk mengambil keputusan ini. Tapi, dia tidak mahu bertanyakan Ariffin tentang hal ini.
"Takdelah... saya tak nak abang berhabis duit macam ni," Ariffin memberi alasan. "Abang bawa jerlah si Jali tu sorang."
Zul menggigit hujung jarinya. Lidahnya terkunci. Tubuhnya bergerak ke depan dan ke belakang. Sedetik kemudian dia memberanikan dirinya untuk mengeluarkan seutas rantai dari dalam  kocek bajunya.
"Ini untuk Art," Zul menyerahkan rantai tersebut kepada Ariffin.
Rasa terperanjat mengukir garis di wajah Ariffin. Dengan ragu ragu dia mencapai rantai tersebut daripada tangan Zul.
"Kenapa ni, bang?" tegurnya perlahan. Dia masih tersentak dengan tindakan Zul menyerahkan rantai itu kepadanya. Matanya terus meleret ke wajah Zul.
"Jadi, selama ini Art tahu siapa abang sebenarnya?" suaranya tebal dengan keinginan untuk mendapatkan jawapan yang jujur dari Ariffin.
"Ya," katanya dengan suara yang keras. "Saya masih boleh ingat lagi kepada wajah abang dan kereta abang yang berhenti dekat dengan van yang dibawa arwah bapa saya dulu."
"Apa yang boleh Art ingat?"
"Abang datang untuk tolong kami sekeluarga. Abang cuba keluarkan saya dari keadaan saya tersepit, tapi gagal. Rantai abang ini tercabut dari dalam gengaman saya. Kemudian, abang kata saya perlu hidup... saya tak tahu apa yang berlaku selepas itu."
Zul termenung dengan rasa penuh bersalah. Dia meraba raba bahagian belakang tengkuknya.
"Art tahu apa yang telah menyebabkan kemalangan itu?"
"Saya tak tahu bang... waktu kejadian tu berlaku saya sedang tidur. Kami sekeluarga dalam perjalanan pulang dari kenduri kahwin sepupu sebelah bapa saya di Kuala Sepetang. Waktu tu, hari dah lewat malam, tapi bapa saya tetap berdegil nak balik ke Yan. Entahlah... saya rasa kemalangan tu berlaku sebab dia terlalu penat... semuanya berpunca daripada kecuaian dia!" rasa dendam kemudian meresap ke dalam dirinya. "Saya benci dia kerana dia cuai!"
Petikan buku 
' CINTA TANPA NOKTAH ' 
oleh Nizam Zakaria

Until Then, See You Soon.

No comments: