YESTERDAY WE LEARN χθες μαθαίνουμε , TODAY WE PRACTISE σήμερα ασκούμε , TOMORROW WE ACHIEVE αύριο επιτυγχάνουμε

Sunday, August 5, 2012

the SUNDAY Book #3: SUAMI YANG KUBENCI

Baru sahaja mereka hendak masuk ke dalam rumah, sebuah teksi masuk ke perkarangan rumah agam itu. Langkah Uwais dan Hannah mati.
"Siapa pulak tu?"
"Tuk ayah agaknya...."
"Tuk ayah? Dari mana?"
"Ops... tak cakap lagi ya? Tuk ayah outstation ke Hong Kong..." Hannah senyum menampakkan barisan giginya yang cantik.
"Patutlah berani sangat balik sini... Pandai isteri abang ni ya?" Hidung Hannah dicuit sedikit.
Seorang lelaki tinggi lampai keluar dari perut kereta.
Hannah terkesima bila lelaki yang sudah mengatur langkah ke arah mereka itu dikenalinya.
"Abang Fawaz???" Hannah senyum dan kelihatan teruja.
Uwais kerut dahi. Abang Fawaz? Siapa? Tak pernah dengar pun nama ni? Dia memerhatikan susuk tinggi lampai itu yang kini betul betul di hadapan mereka. Orangnya bukan sahaja tampan, tetapi dari pakaiannya pun Uwais sudah dapat agak lelaki itu 'spesies Hannah'. Apasal aku rasa macam tak sedap hati aje ni?

"My sweet, Hanny... How I miss you, dear..."
Pelukan Fawaz yang mendadak itu tidak mampu untuk Hannah elak. Sekejapan sahaja dia sudah berada dalam dakapan Fawaz yang tinggi lampai itu. Ya Allah! Abang Fawaz ni biar betul! Suami Hanny ada kat sebelah ni, Abang Fawaz oi... Awak, bukan salah saya tau! Sempat dia memandang raut wajah Uwais yang berubah.
Uwais terpaku menyaksikan aksi di hadapannya. Honey? Nama dia Hannah la, bukan Honey... Suka suka nak panggil isteri orang macam tu! Datang tak dijemput, bagi salam pun tak... tau tau kau peluk isteri aku. Aku sendiri pun tak de peluang nak buat macam tu... Siapa dia ni???
Uwais rasa bajunya yang basah boleh jadi kering kerana panasnya melihat kemesraan yang tidak pernah dijangkanya itu.
"Err... Abang Fawaz pergi mana selama ini?" Hannah cepat cepat menolak perlahan tubuh Fawaz. Memang betul mereka rapat, setakat bertepuk tampar tu memang biasa, tetapi dia memang tidak pernah berpeluk dengan Fawaz sebelum ini. Usahkan Fawaz... masa dengan Muiz dulu pun setakat berpegang tangan sahaja. Dia pun reti juga malu walaupun tidak mengamalkan budaya Melayu seratus peratus.
"Pergi mana? Bawak dirilah... Ya la kan, orang tak suka... buat apa tinggal sini lagi..." Jawapan Fawaz seperti jauh hati.
"Tak nak jemput masuk ke?" tanya Fawaz. Dia perasan ada lelaki yang tidak dia kenali di situ. Namun begitu, dia tiada hati untuk berkenalan dengan sesiapa pun ketika itu. Perhatiannya hanya pada Hannah Maryam yang sekian lama dia impikan untuk menjadi suri hidupnya.
Beberapa hari yang lepas, dia terserempak dengan Tengku Muiz di Dubai. Dia tidak menyangka perkahwinan antara Muiz dan Hannah tidak pernah berlaku dan Muiz sendiri tidak mahu bercerita kenapa. Dia tidak tunggu lama untuk terus menempah tiket balik ke Malaysia setelah hampir lapan bulan menghilangkan diri daripada keluarganya. Harapannya cuma satu... kalau Muiz tiada lagi dalam hidup Hannah, jadi siapa lagi yang lebih layak selain dia untuk menjadi arjuna pelindung seumur hidup Hannah Maryam.
"Masuklah, buat apa berdiri lagi kat sini..." pelawa Hannah.
"Jom...!" Spontan pula Fawaz menarik tangannya dan masuk ke dalam rumah.
Hannah tidak tahu hendak kata apa. Dia lihat Fawaz begitu teruja sekali tanpa sempat dia hendak kenalkan Uwais kepada lelaki itu.
Uwais terkebil kebil melihat Hannah daan Fawaz yang sudah masuk. Habis, aku ni macam mana? Sampai hati Hannah tinggalkan dia di luar. Sudahlah pakaiannya basah... sekarang tidak dipedulikan pula...
Baru sahaja Uwais hendak melayan rasa sedih, tiba tiba Hannah muncul.
"Opsss... sorry, tertinggal pulak...! Jomlah masuk, mandi dan tukar baju." Hannah senyum.
"Ingatkan dah tak peduli." Suara Uwais seakan merajuk.
"Eee... wak cemburu dengan Abang Fawaz, ya?" usik Hannah.
Uwais langsung tidak senyum.
"Dia tu abang spupu sayalah. Jomlah masuk..." pujuk Hannah lagi. Kan dah merajuk Uwais aku ni. Abang Fawaz pun satu... agak agaklah kalau nak peluk tu...! Aku ni dah jadi isteri penjual burger, mana boleh main peluk sesuka hati.
"Tapi dia peluk sayang tadi... selamba aje..." Uwais cekak pinggang. Memang tidak puas hati. Suami mana pun akan bengang kalau ada orang peluk isteri dia, kan?
"Memanglah, tapi bukan saya yang suruh... Abang Fawaz tu yang tiba tiba tarik saya macam tu!"
"Memang abang cemburu, Hannah. Takkan abang nak biar orang peluk sayang abang ni, kan? Depan abang pulak tu!" Uwais memang tidak perlu rasa malu untuk mengaku. Sebagai lelaki dan suami, dia mahu Hannah faham rasa hatinya.
"Okey... okey... Abang Fawaz tak sengaja agaknya. Lain kali Hannah akan pastikan, abang aje yang boleh peluk Hannah..." Alamak! Terlepas cakaplah pulak!
"Apa dia?"
"Tak de apalah..." Hannah menggeleng. Wajahnya memerah kerana Uwais memang dengar dengan jelas apa yang dia cakap tadi. Saja ajekan... nak buat aku rasa berdebar debar...
Uwais senyum nakal. Nampak macam dia baru sahaja dapat isyarat lampu kuning. Tak pe... tak pe... sabar tu separuh daripada iman... lambat atau cepat dia yakin, Allah akan memberikan ruang yang terbaik untuk dia dan isterinya itu. Hannah menarik tangannya dan mereka masuk ke dalam rumah. Pedulikan siapa Fawaz... Saat itu Uwais hanya mahu detik detik dalam hidupnya hanya dengan Hannah!
"Pergi mandi... Nanti saya letak baju awak atas katil, ya?"
Hannah menghulurkan tuala kepada Uwais.
Tanpa banyak bicara Uwais mengambilnya.
"Tolong bukakkan butang baju abang boleh tak sayang?" Uwais sengaja hendak bermanja.
"Ai... dah tak pandai nak bukak sendiri?" Hannah dapat rasa Uwais memang sengaja.
"Pandai... tapi rasanya sayang abang ni lagi expert bab bukak butang baju ni..." Uwais cuba mengingatkan saat kali pertama mereka tinggal satu bilik dulu.
"Suka mengada ngada, kan? Cubit baru tahu...!" Hannah mengusap sedikit dagu Uwais.
"Tak nak la cubit... sakit. Kalau nak cium ke, lainlah... Anytime..." Makin galak Uwais mengusik.
"Ya Allah, gatalnya...! Suami siapalah ni..."
"Suami Hannah Maryamlah... yang handsome tu...!"
Hannah ketawa. Tangannya membuka butang baju kemeja Uwais satu per satu.
"Sayang..."
"Hmmmm..." Hannah yang tadi hanya memandang ke arah butang baju Uwais mendongak. Mata mereka bertentangan dan dia lihat Uwais senyum. Lesung pipit kelihatan terserlah di kedua dua pipinya. Ya Allah... handsomenya suami aku ni...! Aku tak rela kalau ada perempuan lain yang nak rebut dia daripada aku. Macam ni ke rasa jatuh cinta?
"Sayang tahu tak... abangkan, suka sangat tengok mata sayang ni... Cantik!" puji Uwais. Mestilah kena puji... Biar Hannah tahu, aku ni romantiklah jugak walaupun hanya penjual burger...
Hannah terpaku, jiwanya sudah mula terbuai dengan pujian Uwais. Hannah pun suka tengok senyuman abang... Macam nak tercabut jantung, tau!
Uwais merapatkan lagi jarak antara dia dan Hannah. Makin rapat. Hannah tidak mengelak... Uwais semakin berani. Rapat lagi hingga hidung mereka hampir berlaga. Saat bibir mereka hampir bertaut...
Tuk! Tuk! Tuk!
"Hanny!!!" Terdengar laungan suara kasar dari luar bilik.
"Siapa pulak tu?" Uwais mengerut dahi. Kacau daun betul!
"Abang Fawaz agaknya..."
"Memang dialah tu... Kan dia sebut Honey... Suka suka panggil isteri orang macam tu..."
"H.A.N.N.Y... Hanny... Dah memang dia panggil macam tu dari kecil, takkanlah nak jadi isu..."
Uwais mencebik.
"Biar abang pergi jumpa dia? Nak apa sibuk sangat cri sayang ni? Eh, dia tak reti nak berehat ke?"
"Tak payahlah... Nanti dia ingat kita buat apa pulak dalam bilik ni. Tengoklah keadaan awak tu..." Hannah tunjuk pada baju kemeja Uwais yang sudah terbuka luas. Alahai, seksinya suami aku ni...
"Baguslah, biar dia tahu! Kita pun nakkan privacy..."
"Isy... tak naklah, buat malu aje."
"Nak malu apa... bukan buat maksiat pun...! Inilah dia, kalau dengan suami aje ada dalih... kalau dengan bukan muhrim tu, berpeluk tak kisah pulak ya? Depan suami pulak tu..."
Hannah membulatkan matanya bila disindir Uwais. Amboi! Aku jugaklah yang salah...
"Faham... tak payahlah nak ungkit. Lain kali saya takkan biarkan perkara macam tu jadi lagi..."
"Hanny!!!" Terdengar lagi laungan itu.
Uwais cekak pinggang. Aku memang tak boleh tahan dengan Abang Fawaz ni. Dia ingat isteri aku ni apa? Dah macam isteri dia pulak!
"Awak pergilah mandi..." Hannah menolak tubuh Uwais supaya masuk ke bilik air.
Terpaksa juga Uwais turutkan. Ikutkan hati hendak sahaja dia bercakap sendiri dengan Fawaz. Hannah ada suami yang perlu diberi perhatian... Sendiri mau ingatlah!
Hannah buka pintu. Fawaz sudah berdiri di hadpannya.
"Sorrylah ganggu... Errr... nak mintak tolong dengan Hanny... Hantar abang pergi rumah Maira, bloeh? Dah lama abang tak jumpa adik dan anak anak saudara abang tu..."
"Diorang tak tahu abang balik ke?"
Fawaz geleng.
"Tapi hari dah lewat petang ni..."
"Sekejap aje... please..." rayu Fawaz.
Hannah agak keberatan. Dia baru sahaja hendak berbaik dengan Uwais. Nanti kalau Uwais cari dia macam mana? Kalau Uwais merajuk... marah ke? Tadi pun Uwais sudah tidak puas hati. Maunya tak, hampir sahaja ciuman pertama mereka terjadi, Fawaz sudah buat spoil...
"Okey... Abang tunggu kat depan rumah, ya?"
Fawaz angguk.
Hannah tutup pintu. Perlu ke cakap kat abang? Tapi dia tengah mandi... Sekejap aje tak pe kut! Hannah keluar dari bilik setelah meletakkan pakaian bersih untuk Uwais di atas katil.
Dua puluh minit kemudian Uwais keluar dari bilik air dengan hanya bertuala.
"Hannah?" panggilnya tetapi dia lihat bilik itu kosong sahaja. Hannah tidak kelihatan di mana mana.
Uwais menghampiri katil dan dia lihat terdapat sehelai T-shirt Polo Sport dan sehelai kain pelekat. Uwais senyum sendirian. Nampaknya Hannah sudh tahu yang kebiasaan dia memakai kain pelekat untuk memudahkan dia solat maghrib nanti.
"Agaknya dia tunggu aku kat meja makan, kut?"
Walaupun hari sudah hampir pukul tujuh petang, tetapi dia msih belum makan dan terasa lapar. Uwais segera menyarungi baju. Kemudian dia keluar darri bilik. Kebetulan dia bertembung dengan Putera yang juga baru keluar dari biliknya.
"Putera nampak along tak?" tanya Uwais.
"Along? Oh, dia suruh Putera beritahu abang long... dia pergi hantar Abang Fawaz ke rumah Kak Maira..."
Mereka sama sama duduk di ruang tamu.
"Buat apa?" tanya Uwais lagi. Dia memang tidk suka cara Fawaz yang sesuka hati mengajak Hannah ke sana sini. Sepatutnya mintalah izin daripadanya dulu.
"Kak Maira tukan adik Abang Fawaz... Dia rindukan adik dialah tu agaknya..."
"Emmm.. Abang Fawaz tu rapat ke dengan along?"
Aku kena siasat ni....
"Memang rapat pun! Kira macam bodyguard alonglah... Satu sekolah dengan along tu, bang... Dari sekolah rendah sampailah ke universiti... Tapi lepas along bertunang, dia terus lesap... Sekarang baru dia ada balik. Putera pun pelik, apa yang sebabkan dia balik tiba tiba..." cerita Putera lagi.
Uwais menghela nafas berat. Kalau baik dari kecil sekalipun, hormatlah sikit... Hannah itu isteri orang... memang tidak manis kalau ada yang nampak Hannah ke sana ke mari dengan lelaki lain. Memang wajar sangatlah kalau dia hendak cemburu. Fawaz abang sepupu, bukan abang kandung!

"Abang Fawaz pergilah rehat, ya... Petang tadi Hanny dah suruh Mak Awa kemaskan bikik abang..." Hannah menutup pintu kereta.
"Eh, lepas abang mandi nanti temanlah berborak. Dah lama kita tak berbual..." Fawaz segera menyamai langkah Hannah yang mahu masuk ke dalam rumah.
Lama juga mereka di rumah Maira... Hampir pukul sembilan malam barulah Maira benarkan mereka balik. Cuma tadi dia pelik bila Maira da bertanya Hannah kenapa sesorang bernama Uwais kalau dia tidak salah... ya! Uwais... Kenapa tidak ikut mereka berdua datang sekali... Siapa pula Uwais?
"Esok ajelah bang, dah pukul sembilan malam ni... Hannah penatlah."
"Okey... sorry...! Abang happy sangat dapat jumpa Hanny... Esok, ya?"
Hannah angguk.
Mereka masuk ke dalam rumah.
Hannah nampak Putera sedang membuat kerja sekolah di meja studinya.
"Rajin aidk abang study?" Fawaz sempat menepuk bahu Putera sebelum dia berlalu ke biliknya.
"Putera... abang long mana?" tanya Hannah.
"Entah, dalam bilik alonglah agaknya."
"Tadi dia makan malam tak?"
"Makan... tapi abang long macam bad mood aje. Along itulah... sian dia tunggu along tak balik balik... Apasal lama sangat?"
Hannah membiarkan soalan itu tidak berjawab. Bukan dia hendak lama lama di rumah Maira, lagipun setiap hari dia berjumpa dengan Maira di pejabat, tetapi Fawaz yang begitu lama bercerita itu dan ini pada Maira. Dia pun jadi tidak sampai hati hendak ajak Fawaz balik cepat.
Hannah masuk ke bilik tidurnya. Dia lihat Uwais sudah terlena di sofa. Pen merah masih berada di jarinya. Hannah menyusun buku buku kerja pelajar Uwais di atas meja. Tanda buku kerja sampai tertidur... Sian Uwais aku ni... Mesti penat. Nasib baiklah dia tak pergi gerai malam ni...

"Awak... bangunlah! Kenapa tidur macam ni?" Dia menggerakkan Uwais. Perlahan Uwais membuka matanya.
"Emmm... sayang dah balik? Dah pukul berapa ni?" Uwais menggosok matanya yang terasa silau kerana cahaya lampu.
"Pukul sembilan malam..." jawab Hannah. Dia duduk di sebelah Uwais.
"Mengantuknya..." Uwais melentokkan kepalanya di bahu Hannah.
Aik, sempat lagi landing atas bahu aku?
"Bangunlah... tidur atas katil... "
Uwais spontan mengangkat kepala.
"Tidur kat mana?"
"Atas katil..." Hannah sudah bangun dan membuka almari.
Uwais masih mamai.
"Katil sayang tu ke?"
"Ya, sayang... katil mana lagi...!"
"Sayang?" tanya Uwais lagi.
Hannah senyum kerana dia rasa seperti soalan itu pernah dia tanyakan kepada Uwais sebelum ni... Sekarang dah terbalik pulak!
"Takkanlah saya nak tidur dalam bilik air... sebelah awaklah..." Hannah mengeluarkan tuala dri dalam almari. Dia mahu membersihkan diri. Hannah menuju ke bilik air.
"Habis tu, kenapa sayang bawak selimut tu?"
"Ini tuala mandilah..." Hannah ketawa. Mamailah tu!
"Ooo... nak abang tunggu sayang ke?" Mata Uwais sudah membesar. Direnung Hannah dengan pandangan penuh makna.
Amboi... amboi... tadi aku nampak macam mengantuk sangat! Dah tak ngantuk ke? Penat semua dah hilang? Hannah membalas dengan jelingan menggoda.
"Tunggulah kalau sudi..." Hannah segera masuk ke dalam bilik air.
Uwais turut tersenyum. Yes! Tadi tu nampaknya isyarat lampu hijau, kan? Alhamdulillah... akhirnya! Errr.. kejap... Aku nak ingatkan balik doa malam pertama tu...

Petikan buku 
' SUAMI YANG KUBENCI ' 
oleh E-man Sufi

Until then, See You Soon.

No comments: