YESTERDAY WE LEARN χθες μαθαίνουμε , TODAY WE PRACTISE σήμερα ασκούμε , TOMORROW WE ACHIEVE αύριο επιτυγχάνουμε

Sunday, August 12, 2012

the SUNDAY BOOK #4: FEEL 100%

Pagi nan cerah. Penuh semangat. Hunter sudah pun siap berpakaian. Kemas dan wangi. Manakala Srek pula masih berdengkur di atas katilnya. Namun mengejutkan Srek bukanlah perkara mudah. Hunter terpaksa menggunakan pembesar suara dengan bunyi 100,000 decibel, bagaikan gempa bumi dengan kadar 7.5 pada skala Richter.
Lintang pukang Srek bangun. "Fuh! Rasa nak tercampak jantung aku!" Srek merungut.
"Cepatlah! Kita ada janji temu nak menyusun atur tingkap butik itu. Nak kerja ke nak tidur? Kalau perempuan tengok engkau macam ni, tak taulah berapa markah dia orang bagi. Entah entah negatif 50, tau tak?" Hunter mengomel sebelum melangkah keluar dari bilik. Srek pula melompat ke bilik air. 
Sebuah butik di jalan utama, Bukit Bintang. Hunter dan Srek tidak berlengah menjalankan tugas. Perletakan susun atur berjalan lancar. Setiap kedudukan diperincikan. Senget 0.5cm pun amat penting untuk diperbetulkan.
Hunter bagaikan superstar dengan setiap mata tertumpu ke arahnya. Tampan, bergaya, kemas, bijak. Kebanyakannya jurujual di butik itu. Srek pula agak selekeh dan kurang tampan berbanding Hunter. Srek makan hati juga dengan layanan gadis gadis di situ terhada Hunter, namun tidak pada dirinya.
"Hai... sorang saja...?" tiba tiba satu suara lunak merdu dan syahdu sampai ke telinga Srek. Segera hatinya kembang memikirkan yang dia juga mempunyai peminat. Namun apabila dia berpaling ke arah suara itu, seorang jurujual yang sudah berumur dn agak gemuk pula tersenyum senyum simpul ke arahnya. Wajahnya sedikitpun tidak layak diberi sebarang markah.
"Ha...? Hantu?!" Tanpa disedari keluar perkataan itu dari mulut Srek. Jurujual itu marah marah. Srek membawa diri ke tepi dinding kaca. Tiba tiba matanya hampir tercabut keluar. Dadanya berombak hinggakan bajunya seakan bergelombang.
Seorang gadis yang cantik, menawan, sempurna segala segi, melintasi butik tersebut. Melalui cermin, wajahnya persis seorang puteri. Rambut panjang ikal mayang, iras lembut wanita sejati. Memakai baju bercorak bunga bunga...
"Erk? Uhmph! 80... eh tak 90... eh, 95 er... entahlah! Huntttt... Hhuntt... Hunterrr!!" Lintang pukang Srek mendapatkan Hunter yang sedang kemaruk dengan layanan para gadis di situ.
"Hunter! Gadis melebihi 80 markah!!" Srek tidak sabar. Mengah dan seakan akan menjerit. Hunter terkejut. Adakah wanita sebegitu di sini?
"Mana?" tanya Hunter. Tidak sabar juga. Sedangkan gadis gadis yang berada di situ terpinga pinga dengan sikap kedua duanya yang bagaikan ternampak hantu. Srek menarik Hunter ke muka pintu lalu mencari gadis yang dilihat sekali imbas tadi. Tidak nampak juga. Tanpa berlengah Srek menarik lengan Hunter. Srek mula berlari. Hunter mengikutinya dengan membuta tuli. Mereka berlari di celah celah orang ramai.
"Siapa yang kita kejar ni?" Hunter bertanya dalam mengahnya. Srek pula berlari sikit punya laju. Dia terpaksa mengikut kelajuan Srek.
"Rambut dia panjang, pakai baju corak bunga bunga!" jawab Srek, namun kurang menggah kerana semangatnya meluap luap untuk memastikan mereka berjaya berhadapan dengan gadis itu. Orang ramai terpinga pinga melihat Srek dan Hunter yang bagaikan mengejar perompak itu. Namun hanya mereka berdua saja yang berlari. Beriringan pula... Kalau mengejar sesama sendiri tentulah sudah lama bergelut!
Sambil berlari mata mereka melilau. Tetapi tidak kelihatan jua hinggakan mereka sampai ke Stesen MRT. Hendak masuk tiada duit kecil. Terpaksalah menggunakan not seratus. Semua baki tambang dalam bentuk duit syiling pula. Kedua duanya terhegeh hegeh masuk sambil berlari mengedong syiling syiling tersebut. Mereka mendengus sambil memerhati keadaan sekeliling.
"La... takkan sampai sini pun tak jumpa lagi..." Hunter mengeluh sambil melepaskan penat.
"Arrgh! Mana boleh tak jumpa! Mana boleh!!" keluh Srek pula sambil bergegas ke pintu masuk MRT.
"Dah katup tutup encik," kata petugas di situ.
"La... kan saya ada tiket ni!" Sahut Srek, tidak puas hati.
"Tunggu saja MRT lain. Awak lambat siapa suruh? Nak report, pergilah." Petugas itu dengan angkuh menutup pintu masuk.
Srek dan Hunter saling berpandangan. Bengang sungguh.
"Sombongnya! Tak boleh bertolak ansur langsung!" Hunter mendengus. Srek menghantuk hantuk kepala ke dinding.
"Arghhh! Dah nampak tapi tak jumpa...malangnya nasib!"
MRT tersebut mula bergerak.
"Kontrol macho Srek... ramai orang ni.." kata Hunter bersahaja. Srek tersedar. Tersipu sipu seketika apabila dua orang pelancong asing memandang ke arahnya. Tiba tiba matanya tertangkap kembali imbasan gadis melebihi 80 markah di dalam MRT yang bergerak tenang.
"Hunter! Gadis tuuu!" Jerit Srek. Sepantas kilat Hunter melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Srek. Matanya juga hampir terkeluar. Memang cantik! Dengan pantas Hunter merampas kamera seorang lelaki asing yang sedang kusyuk mengambil gambar.
"Hey, My camera!" jerit lelaki 'Timur Tengah' itu dengan nada marah. Srek memegang lelaki itu sementara Hunter terus terusan mengambil gambar gadis yang anggun memikat itu.
Mereka segera ke kedai gambar dengan membawa sekali 'Tok Arab' yang sememang tengah berasap melihat kameranya digunakan sesuka hati.
Srek ternganga, seakan tidak percaya apabila melihat gambar yang telah pun siap diproses. "100 markah!" katanya. Hunter tidak sabar terus merampas gambar itu dan dengan wajah penuh selamba, dia berkata," Aku bagi 95 markah."
Dahi Srek sedikit berkerut. Tetapi untuk Hunter memberikan markah sebanyak itu, memang tidak pernah dibuatnya.
Akhirnya Hunter membesarkan gambar tersebut dalam bentuk poster dinding, menghiasi dinding rumah mereka. Jelas dia cukup berminat dengan gadis itu. Srek berpuas hati juga kerana dapat menatap wajah itu dengan sepuas puasnya, walaupun dalam gambar.
"Aku rasa dia layak jadi ratu, atau pun pelakon iklan." kata Srek sambil berbaring menikmati kecantikan gadis itu. "Tapi mana nak cari dia? Peninglah aku..." Srek seolah olah bercakap pada diri sendiri.
"Senang saja nak cari dia ni..." kata Hunter dalam nada tenang.
Srek bingkas bangun. "Ya ke? Macam mana?"
Hunter menunjuk ke arah buku yang didakap oleh gadis itu di dalam gambar.
"Institut Bahasa Peranchis?" Srek hampir menjerit. Dalam gambar tersebut, gadis itu mendakap kemas sebuah buku yang tertulis Institut Bahasa Peranchis Great Alliance.
"Bijak... bijak..." kata Srek. "Tapi siapa yang nak pergi dulu?"
Srek dan Hunter saaling berpandangan. Namun Hunter lebih cool...
Srek memperlengkapkan diri dari pelbagai sudut. Bimbang ditolak. Penolakan ialah sesuatu yang amat perit untuk diterima. Amat memalukan. Amat menghibakan! Dia sedar kehebatan Hunter boleh mengalahkannya pada bila bila masa. Justeru itu dia kena lebih bersiap sedia dalam persaingan merebut perhatian gadis jelita itu.
Latihan paling utama ialah keyakinan diri. Ini kerana penolakan merupakan tamparan yang paling hebat pada keyakinan diri. Jadi pembinaan diri yang kuat amatlah perlu. Malah dari situ juga Srek telah membuat pelbagai persediaan antaranya ialah belajar bagaimana untuk menarik perhatian perempuan. Paras rupa juga kena jaga. Akhirnya, dia memotong rambut pendek agar kelihatan lebih kemas dan macho. Dia mula mandi dua kali sehari, menyapu ubat jerawat, membersihkan muka serta mencukur bulu ketiak dan kemudiannya menyapu deodorant. Dan yang teramat penting juga, pakaian. Dia menukar cara berpakaian daripada sederhana kepada pakaian kemas. Disebabkan wajahnya yang kurang hensem dia terpaksa bergantung kepada pakaian agar kelihatan lebih segak dan sempurna.
Selain daripada itu, Srek juga mempraktikkan latihan gaya iaitu gaya duduk, berdiri, bercakap dan bermacam macam gaya lagi. Terakhir sekali, belajar bahasa Peranchis kerana gadis melebihi 80 peratus itu belajar bahasa Peranchis. Srek sudah bersedia.
Srek mula memasuki kelas selepas menyelesaikan urusan pendaftaran dan bayaran masuk. Dengan hati yang penuh debaran bagaikan gelombang yang mampu memecahkan tongkang, Srek masuk ke kelas permulaan dengan gaya yang macho.
Huh! Rupanya dalam kelas itu semuanya lelaki. Ada yang botak, rongak, rupa gangster, beruban dan bermacam macam jenis lelaki yang semuanya membuatkan Srek cukup menyampah. Dalam hatinya menyumpah. Seorang perempuan pun tiada.
"Salah kelas ke aku ni?" fikir Srek sendirian lalu menuju ke sebuah kerusi yang masih kosong. Pelajar pelajar lain memandang Srek. Macam bagus...
"Bangun semua! Apa khabar cikgu?" Kedengaran satu suara garau dengan nada perintah.
Srek berpaling ke arah meja guru. Hampir rebah dia dari kerusi yang baru hendak diduduknya apabila terlihat gadis melebihi 80 markah itu. Muka Srek berubah menjadi merah hijau.. Terus dari Srek menjadi Shrek..
"Cik..Cikk Cikgu??"
Gedegang!!! Srek terus rebah. Tidak dapat mengawal keseimbangan badan.
Petikan buku 
' FEEL 100% VERSI NOVEL ' 
Adaptasi komik karya Lau Wan Kit
Adaptasi novel oleh Rosmadewi Mohamed Zin

Until then, See You Soon.

No comments: